Murtad bentuk baru mula berleluasa


Kota Bharu: Kumpulan tertentu yang mahu memurtadkan umat Islam di negara ini cuba mewujudkan murtad bentuk baru apabila bukan saja mencari mangsa keluar daripada Islam, tetapi pada masa sama menghina Nabi Muhammad SAW.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha kumpulan berkenaan turut membuktikan mereka cuba mewujudkan kebencian kepada Islam.
“Apa yang ditimbulkan (hina Nabi), dalam Islam salah satu dalam Rukun Imannya percaya kepada Nabi maksudnya sudah sampai ke tahap bukan tak percaya (saja), (malah) menghina lagi. “Ia perkara yang melihat kebencian kepada Islam dan nabi serta murtad bentuk baru yang nak diajar. “Lebih dahsyat, bukan dia (kumpulan) mencari (umat Islam) keluar daripada Islam tetapi dia menghina pula ajaran Islam dan Nabi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD) Peringkat Kebangsaan 2013 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapa.
Jamil Khir berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan JAKIM mengenai anasir luar dan dalam menggunakan laman sosial bagi menggerakkan gelombang kedua untuk memurtadkan umat Islam di negara ini.
Akhbar semalam melaporkan, Othman dipetik berkata, kumpulan terbabit menggunakan aplikasi Whatsapp dan Blackberry Mesengger (BBM) sebagai pengantara anggota kumpulan ajaran sesat menyebabkan kegiatan mereka sukar dikesan pihak berkuasa.

Media turut melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenalpasti identiti dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW melalui laman sosial Facebook, Jumaat lalu.
Menurut Jamil Khir, satu jawatankuasa khas penyelewengan dan ajaran sesat yang ditubuhkan sebelum ini memantau dan seterusnya memastikan kumpulan berkenaan tidak terlepas tindakan undang-undang.

Katanya, jawatankuasa itu bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Draja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. “Kita memandang serius mengenai kewujudan anasir baru yang cuba memurtadkan umat Islam kerana kumpulan ini adalah kelompok yang tidak senang terhadap Islam dan mereka cuba mewujudkan suasana tegang yang boleh menyebabkan berlaku keadaan huru-hara di negara ini. “Pasukan penguatkuasaan menerusi jawatankuasa ditubuhkan kini diperkemaskan dan ia diwujudkan di peringkat negeri serta pusat bagi memantau perkembangan terkini tindakan pihak yang cuba memurtadkan umat Islam melalui kaedah berkenaan,” katanya. Sementara itu, Jamil Khir berkata, kaedah pelaksanaan penetapan model perjawatan baru PTAD sudah diluluskan dan akan dimuktamadkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, JPA bersetuju untuk menaikkan gred jawatan PTAD sedia ada daripada gred S41/S44 ke S44/S48 mengikut daerah tertentu.
“Ketika ini kebanyakan PTAD masih berada pada gred S41/S44 dan keputusan menaikkan gred mereka ini menyediakan ruang laluan peningkatan kerjaya atau kenaikan pangkat.
“Saya dimaklumkan 10 negeri memanjangkan urusan kenaikan gred PTAD kepada Setiausaha Kerajaan Negeri masing-masing manakala Melaka masih lagi dalam proses melakukannya,” katanya.
Murtad bentuk baru mula berleluasa  Murtad bentuk baru mula berleluasa Reviewed by Tiny Sams on June 12, 2013 Rating: 5
Powered by Blogger.