Dalam Facebook memang heboh sejak semalam lagi kisah kemalangan ngeri di Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway) ini, videonya dikongsi lebih lima ribu kali, tapi tak ramai yang tahu, apa cerita sebenarnya ini.
Kemalangan tersebut meragut lima nyawa membabitkan empat motosikal serta dua kereta dan berlaku di Kilometer 10 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang pada kira-kira jam 3 pagi.
“Saya sudah tarik tangan mereka berdua, tapi kedua-duanya kaku, mungkin kerana panik. Melihat kereta itu makin dekat, saya segera melompat ke tengah jalan. Kalau tidak mungkin saya juga terbunuh.”
Demikian kata Muhammad Hakim Suharman, 17, menceritakan situasi beberapa saat sebelum dua rakannya terbunuh bersama tiga yang lain dalam kemalangan jalan raya awal pagi semalam.
Dua rakan Muhammad Hakim yang terbunuh ialah Amirul Afiq Zainuddin, 22, dan Mohd Faridzuan Mohd Aziz, 21. Muhammad Hakim berkata, sebelum kejadian dia dan kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan di sebuah restoran di Shah Alam, berhenti di laluan kecemasan apabila rantai motosikal Yamaha milik Amirul Afiq tercabut.
“Kami berada di situ kira-kira 15 minit dan ketika hendak meneruskan perjalanan semula, tiba-tiba saya lihat sebuah kereta Honda City berpusing ligat menuju ke arah kami.
“Dari tengah jalan, saya melihat dengan jelas kereta Honda City itu merempuh sebelum mengheret Amirul (Afiq) dan (Mohd) Faridzuan beberapa meter. Ketika itu, hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya,” katanya.
Menurutnya, selepas merempuh kedua-dua mangsa, Honda City itu bersama pemandunya terhumban ke dalam longkang di tepi lebuh raya dan pemandunya turut mati di tempat kejadian.
Seorang saksi kejadian, Zaid Marsum, 17, pula berkata, tidak lama selepas kejadian itu sebuah kereta BMW yang lalu di situ dan berhenti, mungkin kerana pemandu dan seorang penumpangnya mahu memberi bantuan.
“Kereta BMW itu sudah ke depan, namun mengundur semula kira-kira 100 meter sebelum berhenti. Malangnya, sebaik saja penumpang kereta itu turun dari kereta, dia dilanggar sebuah motosikal lain,” katanya.
Akibatnya, Syahmie Farid Izzat, 21, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR dan Kalaychelven turut terbunuh di tempat kejadian. Syahmie Farid Izzat dipercayai gagal mengawal motosikalnya selepas cuba mengelak daripada melanggar Amirul Afiq dan Mohd Faridzuan yang ketika itu terbaring di atas jalan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata Amirul Faiq berasal Meru, Mohd Faridzuan dari Bukit Kapar, Klang manakala Syahmie Farid Izzat tinggal di Seksyen 24, Shah Alam.
“Dua lagi mangsa iaitu Wilson Lee, 22, dan M Kalaychelven, 50, juga beralamat di Klang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.
Katanya, mayat semua mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Akibat perlanggaran itu, Syahmi Farid Izzat yang cedera parah di kepala dan Kalaychelven yang parah di kepala dan putus kaki kiri, turut meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.-22/4/2013
Video kemalangan tonton di sini http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=WQJLhUR_5Z0
Kisah kemalangan ngeri di Federal Highway
Reviewed by Tiny Sams
on
June 03, 2013
Rating: