SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) 9 Jun – Mungkin itu yang dapat digambarkan
tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di
Kampung Air Tempayan, 50 kilometer dari bandar ini kira-kira pukul 8.50
malam tadi (waktu Malaysia).
Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang
itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum
melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit
benar-benar mati.
Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada
hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat
Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang
berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.
Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700
orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk
akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi
pihak berkuasa.
Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar
pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada
dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota
mereka.
Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas
kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke
dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.
‘‘Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam
wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba
kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu.
‘‘Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan
dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.
‘‘Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan
tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang
solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini
benar-benar mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat
kejadian.
Hassan berkata, penyerang dipercayai memasuki kawasan masjid melalui
hutan dan kawasan ladang getah di bahagian belakang bagi memastikan
kehadiran mereka tidak disedari.
Katanya, pembunuh kejam itu tidak memasuki masjid melalui pintu utama kerana ia diterangi dengan cahaya lampu.
‘‘Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya
bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi
dengan darah.
‘‘Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan.
Salah seorang daripada mereka adalah ‘tok siak’ masjid, bagaimanapun
akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan
jantung.
‘‘Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan ‘tabligh’ yang
datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud
dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura
mati,” katanya
Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11
pagi ini dan tinjauanUtusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu
dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang
bergolak itu.
Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan
ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang
ini.
Tinjauan juga mendapati dinding dalam masjid tersebut turut dipenuhi
kesan tembakan dan kawalan keselamatan di kampung berkenaan
ditingkatkan.
AR-RIJAL: diambil dari berita utusan online.Kita mungkin rasa bersyukur
negara kita aman.tapi kita juga perlu ada rasa marah yang amat
sangat.benar,buat masa sekarang memang seperti nampak x ada apa boleh
kita buat dan bantu.tapi pastikan semangat yang ada tak mati.janganlah
bila tengok berita ini hanya sekadar :”erm.ok.ada orang kena
tembak.so?”.
sekurang nya,mungkin mereka yang disana mendapat shahid..kita???
Jemaah Masjid Mati Dibunuh
Reviewed by Tiny Sams
on
June 27, 2013
Rating: